I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, April 7, 2009

Konsep Kepimpinan

Menurut Islam, kepimpinan atau imamah wajib dibentuk bagi melaksanakan dua tanggungjawab yang besar iaitu untuk memelihara agama dan menguruskan siasah dunia.

Memelihara agama bermaksud menjaga, mengembang, mempertahan dan melaksanakan syariat agama dalam semua bidang hidup samada yang mengenai peribadi, keluarga, masyarakat dan negara bahkan dunia seluruhnya.

Sementara menguruskan siasah dunia bererti mengendalikan urusan pentadbiran, pemerintahan dan pembangunan yang melibatkan soal-soal kehidupan, pembangunan material, kemajuan dan peradaban berasaskan kepada nilai-nilai agama dan prinsip-prinsip syariat. Dasar-dasar ini adalah dasar-dasar yang berkaitan kepimpinan negara dan ummah.

Lantaran penting dan besarnya tanggungjawab kepimpinan ini iaitu kepimpinan yang mengabungkan tanggungjawab keagamaan dan keduniaan yang tidak boleh dipisahkan maka Islam meletakkan syarat-syarat tertentu agar amanah kepimpinan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menepati matlamatnya, kerana seorang pemimpin dalam Islam bukan sahaja bertanggungjawab kepada umat bahkan bertanggungjawab kepada Allah SWT.

Mereka yang apabila kami kukuhkan mereka di bumi, mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat dan mereka menyuruh berbuat yang makruf dan mereka mencegah dari berbuat yang mungkar dan kepada Allah jualah akibat dari segala urusan” (al Hajj : 41)

Antara syarat-syarat kepimpinan dalam Islam ialah seorang yang :-

1) Berilmu,

2) Memahami hukum-hukum ke tahap yang dapat berijtihad dalam menangani isu-isu yang berlaku,

3) Seorang yang adil dalam pengertian dan syarat-syarat keadilan,

4) Mempunyai kepintaran di dalam menjalani siasah syariah dan pentadbiran,

5) Mempunyai keberanian di dalam mempertahankan hak-hak dalam kebenaran Islam,

6) Serta mampu menghadapi tentangan musuh selain dari mempunyai pengaruh yang besar yang dilambangkan di dalam pengertian ianya hendaklah seorang yang berketurunan Quraish.

Syarat-syarat yang penuh seperti ini tentulah sukar ditemui di dalam setiap generasi kepimpinan tetapi ianya dapat dipenuhi di zaman kepimpinan para sahabat Nabi Muhammad SAW dan juga dalam beberapa khalifah yang kemudian selain dari kepimpinan Rasulullah SAW sendiri yang merupakan kemuncak kepimpinan kemanusiaan yang sempurna.

Kepimpinan Islam bertanggungjawab melaksanakan tuntutan syariat, meletakkan manusia dalam suasana pengabdian sepenuhnya kepada Allah SWT dalam semua bidang samada aqidah, ibadah, muamalah, kekeluargaan, pemerintahan, pembangunan dan perundangan dan sebagainya.

Maksudnya “Dan tiadalah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka memperhambakan diri kepadaKu’´. (ad-Dzariyyat : 56)

Membebaskan mereka dari segala ikatan pengabdian kepada yang lain dari Allah SWT, melaksanakan kebaikan ditengah-tengah masyarakat serta mencegah segala bentuk kemungkaran. Jika kita mendalami matlamat dari risalah agama yang sebenarnya, akan kita dapati antara matlamatnya ialah untuk membentuk suatu sistem kepimpinan yang soleh dan mempunyai pengarahan menuju kebenaran dan hidayah iaitu kepimpinan yang dapat memandu manusia bagi menghayati konsep pengabdian dan ketaatan yang padu kepada Allah SWT dan perintah-perintahNya.

Kepimpinan yang dapat menegakkan keadilan dan membasmi kemungkaran serta kefasadan dari muka bumi. Antara hikmah dan tujuan kebangkitan para Nabi dan Rasul-rasul adalah untuk melaksanakan peranan tersebut. Peranan kepimpinan untuk membawa manusia ke jalan hidayah dan pengabdian kepada Allah diteruskan oleh para ulama’ selepas wafatnya nabi-nabi dan rasul-rasul. Kerana Ulama’ adalah pewaris dan penanggung amanah mereka.

Dalam sejarah Islam kita dapat melihat mereka yang memegang kepimpinan umat dan negara umumnya terdiri daripada ulama. Khalifah-khalifah Al Rashidin RA adalah ulama-ulama yang agung, mereka sebagai bintang-bintang yang menyinari alam ini. Begitu juga sebahagian daripada mereka yang kemudian. Meskipun ada di antara yang kemudian itu bukan terdiri dari ulama’ yang tinggi kewibawaan tetapi mereka sentiasa mendampingi ulama’ dan di satu pihak yang lain pula para ulama’ sentiasa memberi nasihat, teguran dan kritikan dengan sungguh berani dan tegas.